Hai!
Lama jugak aku tak aktif menaip entri rupanya. Maaf, aku sibuk menyiapkan tesis aku..haha. Apapun, aku tetiba dapat idea untuk menaip topik blog buat masa ni. Sempena kemasukan pelajar baru sesi 2021/2022, aku boleh la kongsikan pengalaman dan pengetahuan aku mengenai suasana pembelajaran di peringkat universiti walaupun ada di antara korang masih berhadapan dengan kelas online. Takpa, apa yang aku nak kongsikan ni hanya mengenai kursus pembelajaran sahaja. Jadi aku senaraikan sahaja jenis-jenis kursus yang korang perlu ambil untuk digelar layak bergraduat. Biasanya, korang akan perlu menghabiskan jam kredit tertentu untuk digelar layak bergraduat (contoh: 120 jam, kebiasaannya termasuk Kursus + Projek Tahun Akhir + Latihan Industri)
Disclaimer: Aku cerita berdasarkan pengalaman aku kat Unimas, lain universiti, lain caranya. Niat aku cuma untuk bagi gambaran asas suasana sesi pembelajaran di Uni secara umum sahaja.
1. Kursus Generik
Kursus ni wajib diambil oleh semua pelajar tak kira program dan fakulti. Kebiasaannya ditawarkan oleh universiti dan fakulti masing-masing. Contoh kursus generik adalah Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Hubungan Etnik, IT, Kokurikulum dll. Subjek BM wajib diambil oleh semua pelajar, bezanya subjek BM untuk pelajar antarabangsa lebih mudah..haha. Subjek BI biasanya ada dua jenis, persediaan dan lanjutan. Pelajar yang dapat keputusan MUET band 3 dan ke bawah kena ambil subjek BI persediaan, kena lulus dan lepas tu baru sambung ambil subjek BI lanjutan. Pelajar dengan keputusan MUET band 4 dan ke atas hanya perlu ambil subjek BI lanjutan.
Subjek BI lanjutan ni juga banyak jenis termasuk BI untuk penulisan akademik, BI untuk komunikasi profesional, BI untuk pekerjaan, dan banyak lagi (ikut uni), korang boleh pilih salah satu mengikut minat. Subjek Hubungan Etnik ni lebih kepada pengenalan masyarakat majmuk berbilang kaum di Malaysia dan isu-isu semasa yang berkaitan. Subjek IT bergantung kepada uni, biasanya pelajar akan belajar cara menggunakan program asas seperti MS office, Adobe, dan biasanya kena buat pembentangan dll. Subjek kokurikulum pun ikut universiti dan ada banyak jenis, ada jenis bersukan dan ada jenis kebudayaan dan sastera, korang boleh daftar ikut minat korang.
2. Kursus Program
Kursus program ni ikut fakulti dan jenis program, dan biasanya dibahagi dua, kursus sepunya + program. Kursus sepunya ni diambil masa Tahun 1, kursus ni biasanya dikongsi bersama dengan pelajar dari program lain dalam fakulti yang sama, masa ni la korang boleh berkenalan dengan pelajar program lain dari fakulti korang. Kursus sepunya ni biasanya melibatkan subjek asas yang umum, subjek sama yang korang dah belajar sejak dari pre-uni lagi, Masuk Tahun 2 dan ke atas, baru lah korang ambik kursus program iaitu kursus spesifik mengikut program yang ditawarkan kat korang, masa ni korang hadap kawan satu program dalam kelas je la sampai graduat..haha.
3. Kursus Elektif (Kursus pelengkap)
Kursus ni ditawarkan oleh setiap fakulti dan terbuka untuk semua pelajar, tak kira la korang dari program dan fakulti mana pun. Kalau korang dari fakulti biologi nak ambil kursus elektif dari fakulti kejuruteraan pun boleh. TAPI.....kursus elektif ni biasanya hanya pengetahuan asas sahaja, pendek kata kebiasaannya tak rumit dan agak mudah untuk lulus..haha. Pelajar biasanya ambil kursus bahasa sebagai kursus elektif, kursus bahasa ni agak susah jugak kalau tak belajar bersungguh-sungguh. Kursus bahasa yang sentiasa ditawarkan adalah bahasa Jepun, bahasa Cina Mandarin, bahasa Perancis, dan bahasa Arab. Ada universiti menawarkan jenis-jenis bahasa asing lain selain yang disebutkan tadi dan ada juga menawarkan kursus bahasa tempatan, contoh: UNIMAS (kursus bahasa Iban & kursus bahasa Melayu Sarawak) dan UMS (kursus bahasa Kadazandusun)
4. Projek Tahun Akhir (PTA) + Latihan Industri (LI)
PTA ni ikut program korang. Jenis-jenis PTA ni biasanya ada tiga, penulisan tesis + penyelidikan, penulisan topik khas, pembentangan hasil karya/projek + tesis laporan. Penulisan tesis + penyelidikan melibatkan korang untuk membuat penyelidikan berdasarkan tajuk kajian yang ditetapkan oleh penyelia PTA lepas tu korang kena membukukan hasil kajian korang dalam bentuk tesis dan penilaian dibuat dalam bentuk viva-voce (oral exam), lepas pembentangan akan ada sesi soal jawab dan korang akan dinilai berdasarkan prestasi hasil kerja kajian dan juga pembentangan + cara korang jawab Qn'A.
Penulisan tesis topik khas lebih kepada pelajar yang tak memilih mod penyelidikan ataupun memang telah ditetapkan oleh fakulti masing-masing. Tesis topik khas biasanya hanya memerlukan korang untuk mengulas isi topik kajian khas yang sudah sedia ada dengan sokongan bacaan jurnal yang berkaitan dengan topik tu, dan kemudian dibukukan lebih kurang macam literature review jugak la, korang tetap kena buat pembentangan + jawab Qn'A untuk dinilai oleh pemeriksa. Pembentangan hasil karya/projek + tesis laporan biasanya lebih kepada pelajar yang ambil jurusan seni di mana korang akan diberi masa untuk menyediakan/menghasilkan karya dan membentangkan kepada para pemeriksa.
LI juga tertakluk kepada universiti, LI biasanya 3-6 bulan ikut jenis program. Universiti akan bagi senarai syarikat yang menawarkan LI dan korang boleh mohon je dari senarai tu, ada syarikat yang nak interview dulu baru lah dipilih untuk menjalani LI, biasanya korang ada peluang untuk terus diserap masuk lepas habis LI dari syarikat macam tu. Korang juga boleh cari syarikat yang takda dalam senarai tu, kalau nak cari yang dekat ke, yang ada benefit ke dll.
Harapnya panduan kursus di atas dapat la membantu korang untuk bersedia menghadapi suasana pembelajaran di universiti, kalau ada penambahan, pembetulan atau pertanyaan, dipersilakan komen di bawah.
**** FINITO ****